Sunday, 3 February 2013

Bahasa Malaysia - Penulisan (3)

Soalan:
Ceritakan mengenai binatang peliharaan yang kamu punyai dan amat sayangi.

Pendahuluan:
- mempunyai kucing - namanya Momo - comel - berwarna oren berbelang putih.

Isi - isi:
- jumpa di tepi surau - kurus dan kotor - bawa balik - mandikan - bagi makan
- sekarang momo gemuk - aktif - saya suka bermain dengan Momo
- menangkap tikus - menghalau dan mengejar cicak
- menunggu saya balik sekolah - memeluk dan mencium Momo
- Ibu dan ayah berbangga dengan sikap prihatin - pandai menjaga

Penutup:
- Gembira dengan kehadiran Momo - sayang dan akan menjaga Momo sebaiknya.


Karangan penuh:

          Saya mempunyai seekor kucing sebagai binatang peliharaan. Namanya Momo. Ia amat comel dan bulunya berwarna oren berbelang putih.

          Momo dijumpai di tepi surau di mana saya mengaji Al - Quran. Ketika itu, Momo kurus, kotor dan busuk. Saya membawa Momo balik ke rumah dan memandikannya. Selepas itu, saya memberi Momo makan.

          Sekarang Momo sudah sihat dan gemuk. Momo sangat aktif. Saya suka bermain kejar - kejar dengan Momo. Momo juga rajin menangkap tikus dan lipas. Kadang - kadang, Momo menghalau dan mengejar cicak.

          Setiap hari, Momo akan menunggu saya pulang dari sekolah. Saya akan memeluk dan mencium Momo. Ibu dan ayah berbangga dengan sikap saya yang prihatin dan pandai menjaga haiwan peliharaan.

          Saya gembira dengan kehadiran Momo. Ia juga membuatkan saya lebih ceria, rajin dan sabar. Saya akan menyayangi dan menjaga Momo sebaiknya.



         

Tuesday, 29 January 2013

Bahasa Malaysia - Penulisan (2)

Soalan:
Guru kelas kamu telah mengadakan aktiviti gotong - royong membersihkan bilik darjah. Ceritakan suasana semasa gotong royong tersebut.

Pendahuluan:
- hari Ahad - pagi - murid - murid berkumpul di kelas -  membersihkan dan mengemas bilik darjah - semua murid dan guru kelas terlibat.

Isi - isi:
- dibahagi kepada 4 kumpulan - 1 kumpulan 10 orang - mengikut tugas-tugas yang ditetapkan oleh guru
- tugas mengikut kumpulan - menyapu sampah - menyusun meja dan kerusi - mengecat dinding - menghias papan kenyataan
- mengambil peralatan - setiap kumpulan menghantar wakil 2 orang
- kelas menjadi bersih, tiada habuk - meja di balut dengan kertas pelapik meja - papan kenyataan dihias dan diisi dengan info yang bermanafaat - dinding menjadi cerah dan lebih ceria.
- selesai gotong royong pada pukul 12 tengah hari - makanan dan minuman disediakan di kantin.

Penutup:
- semua murid dan guru gembira dan berasa puas walaupun letih - lebih bersemangat untuk belajar - tidak sabar menunggu hari persekolahan.

Karangan penuh:

          Pada hari Ahad yang lepas, kelas saya telah mengadakan aktiviti gotong - royong. Seawal jam 8 pagi, semua murid - murid telah berkumpul di kelas. Tujuan utama aktiviti ini ialah untuk membersih, mengemas dan mencantikkan bilik darjah. Semua murid dan guru kelas terlibat.

          Guru kelas saya, cikgu Azrul membahgaikan murid - murid kepada empat kumpulan mengikut tugas - tugas tertentu iaitu menyapu sampah, menyusun meja, mengecat dinding dan menghias papan kenyataan.

          Sebelum memulakan aktiviti, setiap kumpulan menghantar dua orang wakil untuk mengambil peralatan di stor sekolah. Saya mengambil penyapu dan penyodok sampah. Amin dan Abu mengambil peralatan mengecat manakala kumpulan lain mengambil peralatan yang bersesuaian dengan tugas mereka.

          Kelas saya menjadi bersih. Tiada habuk dilantai mahupun di cermin tingkap. Meja disusun dengan rapi dan dibalut dengan plastik pelapik. Papan kenyataan penuh dengan info - info yang bermanafaat. Dinding menjadi lebih bersih, cerah dan ceria.

          Pada pukul 12 tengah hari, aktiviti gotong selesai. Sebelum pulang, semua murid diberi jamuan makan dan minuman di kantin.

          Semua murid dan guru berasa penat tetapi amat gembira dan berpuas hati apabila melihat hasil daripada gotong - royong yang telah dilakukan. Semua murid berasa lebih bersemangat untuk belajar dan tidak sabar menunggu hari persekolahan.

Tuesday, 22 January 2013

Bahasa Malaysia - Penulisan (1)

Tajuk:
1. Tuliskan cita - cita kamu dan usaha - usaha yang dilakukan untuk mencapai cita - cita tersebut.

Pendahuluan:
- menjadi ahli perniagaan - ikut jejak langkah ayah dan atuk - sunnah Rasulullah.

Isi - isi:
1 -  membantu orang yang susah - meberi pekerjaan - meningkatkan ekonomi dan taraf hidup keluarga dan umat Islam.

2 - belajar bersungguh - sungguh - bertanya pengalaman berniaga ayah, atuk dan kawan - kawannya

3 - masuk universiti harvard belajar jurusan perniagaan

4 - menyertai aktiviti perniagaan seperti hari kantin, - menghasilkan kraftangan yang boleh dijual melalui internet.

5 - menggunakan masa dengan berhemah - membuat jadual yang teratur

Penutup:
- usaha tangga kejayaan - dimana ada kemahuan dan kepercayaan , pasti ada jalan - pastikan cita - cita tercapai


          Semua manusia mempunyai cita - cita. Begitu juga saya yang bercita - cita untuk menjadi ahli perniagaan yang berjaya. Saya ingin mengikuti jejak langkah ayah dan atuk serta mengamalkan sunnah Rasulullah didalam bidang perniagaan.

          Melalui perniagaan, saya dapat membantu orang yang susah dengan memberi pekerjaan kepada mereka. Dengan ini, saya juga dapat meningkatkan taraf ekonomi keluarga, umat Islam dan negara Malaysia.

          Untuk mencapai cita - cita ini, saya akan belajar bersungguh - sungguh dan sentiasa mendengar nasihat daripada ibu dan ayah. Saya juga akan menanyakan pengalaman perniagaan ayah, atuk dan kawan - kawannya.

          Setelah itu, saya akan berusaha untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Harvard di Amerika Syarikat untuk mendapatkan ilmu perniagaan yang lebih mendalam, maju dan moden.

          Aktiviti seperti jualan untuk hari kantin, hari guru dan hari kebangsaan akan saya manafaatkan untuk menimba pengalaman dan menanamkan minat yang kuat dengan mengambil bahagian secara aktif. Produk kraftangan juga akan saya hasilkan untuk dijual melalui internet.

          Bagi memastikan kejayaan didalam aktiviti perniagaan dan pelajaran seimbang, saya harus menggunakan masa dengan berhemah melalui aturan jadual yang sistematik, disiplin dalam menepati masa dan banyak berdoa kepada Allah.

          Usaha tangga kejayaan. Dimana ada kemahuan dan kepercayaan pada diri sendiri, disitu pasti ada jalannya. Saya akan memastikan cita - cita saya tercapai dan sentiasa berdoa dan berusaha bersungguh - sungguh.