Monday, 27 February 2012

Mamut seekor Semut (Episod 1)


Di dalam hutan, di daerah Besut, tinggallah seekor semut.

Namanya Mamut.

Mamut ada sepasang sesungut.

Tut tut tut…sesungut kanan terlanggar rumput.

Crut Crut Crut..sesungut kiri pula tersangkut – sangkut.

Mamut ada 6 kaki. Dia memakai 3 pasang kasut.

Kut kut kut…Mamut jalan terjingkut – jingkut.

“Kasut kau besar lah” kata Ozot, kawan Mamut

“Ikut suka akulah nak pakai apa!”

“Ong ong ong..jangan sombong...orang sombong tak beruntung” kata Ambong katak lombong

Mamut tidak peduli.

Mamut jalan lagi. Tiba – tiba Mamut geli.

Rupa – rupanya ada kuman di tapak kaki.

“Ki ki ki…” Gelak kuman bernama Viki

Shooooo….ooooo…ooooo

Tiba – tiba angin bertiup kencang. Mamut berpaut pada pokok kacang.

Rupanya bukan ribut yang datang. Tetapi sekumpulan semut yang boleh terbang.

“Ketepi semua…ketepi ketepi!” jerit salah seekor dari mereka

Semua semut lain tidak berani….

“Jom Mamut kita lari!” kata Ozot

“Jom Mamut kita pergi!” kata Ambong

“Aku tak akan pergi dan lari dari sini!” jawab Mamut

Krup krup krup…dari jauh terdengar bunyi…

“Aku Vukat! Semut terbang paling kuat!”

“Aku Mamut! Semut hitam yang tak takut!”

Vukat merenung Mamut.

Mamut merenung Vukat.

Mamut dan Vukat bersedia untuk berlawan.

Sesungut mereka semakin keras.

Nafas mereka semakin pantas.

Slappppp!!! Prappppp!!! Krapppp Krappp Krappp….

Semuanya tiba – tiba senyap.

Sunyi tiada bunyi. Sunyi tiada suara.

Rupa – rupanya Vukat sudah tiada. Ditampar oleh Ambong dengan lidahnya!

Vukat tercampak jauh dan hilang entah ke mana..

“Kenapa tak makan Vukat?” tanya Ozot pada Ambong

“Vukat busuk” balas Ambong

“Hahahaha” Ozot dan Mamut tertawa

“Hahahaha..baik aku makan kamu!” Ambong berkata

“Lari!!!”

“Lari!!!”

“Lari!!!”

“Lari!!!”

“Lari!!!”

“Lariiiiiiiiiii!!!”

semua semut menjerit

“Jangan takut wahai semut! “

“Aku masih belum lapar lagi! Aku hanya bergurau tadi!”

“Aku takkan makan kamu hari ini, aku janji!”

“Jangan takut wahai semut! Aku masih kenyang, tengoklah aku punya perut!”

Semua semut berasa lega….kecuali Mamut.

Mamut berasa marah. Kerana Ambong memperbodoh – bodohkan mereka.

Tuk tuk tuk tuk tuk tuk …..tiba – tiba kepala Ambong diketuk

Enam kali diketuk..hingga kepalanya berlekuk….

Rupanya Mamut mengambil kesemua kasutnya...dan mengetuk kepala Ambong…


“Kalau bergurau jangan berlebih!” kata Mamut

“Maaf lah..aku tak sengaja” Ambong berkata dengan sedih…

Tiba – tiba Mamut terlihat…sepasang sayap kepunyaan Vukat..

“Mesti sayap ini tercabut tadi” kata Mamut

“Baik aku cuba!” kata Mamut di dalam hati

Ozot dan Ambong hanya memerhati. …


--Apakah yang Mamut mahu lakukan dengan sayap itu?

---Apakah yang akan terjadi dengan Mamut selepas ini?

----Bagaimana keadaannya kalau Vukat datang kembali?

Nantikan sambungannya…

Pelajaran:

1) Jangan sombong, sebab kalau sombong kita tak Nampak salah kita dan tak mahu berfikir untuk mendengar nasihat orang.

2) Bergurau dan bermain lah dengan kawan kita tetapi janganlah berlebihan atau melampaui batas.

Fakta Sains :

Semut adalah serangga. Ciri – ciri serangga ialah, ada 3 bahagian badan, dan ada 3 pasang kaki, serta sepasang sesungut. Semut ada banyak spesis..ada spesis boleh terbang, ada yang berwarna hitam, ada yang berbisa dan ada bermacam – macam spesis lagi….best belajar Sains,,,boleh tahu mcam2...:)..

Saturday, 25 February 2012

Pantun sains (1)

Kalau tuan pergi ke kedai
Jangan lupa membeli belacan
Kalau tuan bijaklah pandai
Spesis apa kakinya lapan?

Pergi ke kelas membawa bahulu
Bahulu merah sedap sekali
Berdarah panas dan juga berbulu
Spesis apakah berciri begini?

Friday, 24 February 2012

Kesusahan disertai Kemudahan

Aminah seorang kanak - kanak yang pintar dan comel.
Tetapi Aminah suka mengeluh apabila dia berasa bosan dan menghadapi kesukaran.
Bukan sahaja di rumah ketika membantu ibunya, tetapi juga di sekolah ketika melakukan latihan yang diberikan oleh guru.

Di sekolah:
"Aduhh..susahnya latihan ni...malas lah nak buat" kata Aminah
"Jangan begitu...kita tidak boleh putus asa" kata Rahmah, kawannya.

Di rumah:
"Alaaa Ibu...nantilah...bosanlah Aminah nak mop lantai...susah dan penat.." keluh Aminah
"Sabar sayang. Buatlah yang terbaik dan perlahan - lahan" balas Ibunya
"Ahh..Aminah nak tidur dulu lah..." Aminah terus masuk ke bilik dan terlelap...


Aminah terjaga...
Perutnya lapar...dia terus pergi ke dapur dan duduk di meja makan.
Aminah membuka tudung saji.
"Ahhh...kenapa boleh jadi begini???"
Alangkah terkejutnya Aminah apabila melihat makanan itu.
Nasi yang dihidangkan adalah padi yang masih bertangkai dan berdaun.
Ayam kari juga masih berbulu dan berdarah.
Manakala sayur kangkung masih berakar dan bertanah.
Air minuman pula keruh dan kotor.

Ibu masuk ke dapur sambil memandang Aminah...
"Ibu, kenapa makanan dan minuman jadi begini? Aminah lapar, Aminah nak makan" tanya Aminah seperti mahu menangis.

Ibu Aminah menjelaskan...
"Tadi Ibu ke kedai...orang kedai cakap petani rasa susah nak proses padi jadi beras. Mereka bosan. Jadi mereka jual padi sahaja"

"Ayam dan sayur?" tanya Aminah lagi.

"Orang kedai cakap, penternak ayam rasa susah nak buat kerja memproses dan membersihkan ayam. Mereka bosan dan rasa susah. Jadi mereka jual ayam sahaja. Sayur kangkung juga begitu"

"Air?"..tanya Aminah..kali ini airmatanya mula mengalir kerana lapar dan dahaga

"Air pun sama. Orang yang baiki paip di luar sana tidak mahu siapkan kerja mereka. Katanya mereka bosan dan rasa susah nak siapkan"

"Kalau semua orang nak buat kerja susah dan cakap susah dan mengeluh...macam mana nak makan dengan senang?..lagi susah nak makan macam ni..." kata Aminah

Aminah terus menangis kerana lapar dan sedar kesilapan dirinya.....hinggalah dia dipeluk dan dikejutkan oleh ibunya dari tidur..

"Aminah..kenapa sayang?"...
"Ibu?..Aminah janji Aminah tak mahu mengeluh lagi. Aminah akan siapkan kerja dan tak mahu banyak mengeluh. Aminah janji akan terus usaha dan bersyukur pada Allah" kata Aminah sambil menangis.
"Anak Ibu mimpi ye...mmm...baguslah kalau Aminah sudah mahu berubah" kata ibu sambil tersenyum.

Aminah dan Ibunya berdakapan. Mereka kemudiannya makan bersama.

Sejak hari itu, Aminah tidak lagi banyak mengeluh.
Walau apa pun kesusahan yang datang, dia tetap bersabar, berusaha dan berserah pada Allah.
Dan sejak pada hari itu, dia pasti mendapat banyak kesenangan setelah menempuh kesusahan.

...Tamat....


Firman Allah:

Oleh itu maka bahawa sesungguhnya tiap - tiap kesukaran disertai kemudahan.

Bahawa sesungguhnya tiap - tiap kesukaran disertai kemudahan.

(Surah Al - Inshirah , ayat 5 & 6).

SadaqAllah hul Azim - Benarlah firman Allah yang maha hebat

Monday, 20 February 2012

Berani

Kalau rambut banyak kutu
Ambil shampoo tolong basuhkan
Hidup mesti berani selalu
Tiada hantu ingatlah Tuhan

Ketam biru ketam merah
Ketam hijau dalam bakul
Takutkan hantu Allah marah
Ingat selalu contohi Rasul

Orang pandai sentiasa maju
Orang maju sentiasa berjaya
Jangan kita takutkan hantu
Hanya Allah kita percaya

Orang bodoh buat cerita
Cerita hantu cerita bongok
Orang pandai takkan percaya
Orang pandai takkan tengok

....Ica,tolonglah jgn takut2...

Thursday, 16 February 2012

pantun ke sekolah (2)

buah kiwi buah duku
buah kelapa dalam guni
hari - hari dapat ilmu
untuk apa ilmu dicari?

makan nasi kuah kari
waktu siang makan kerang
ilmu dicari penerang hati
hidup tenang sentiasa riang

disitu itik memijak ranting
disana ular memijak tali
ilmu matematik sangatlah penting
untuk membayar bila membeli

pagi - pagi pergi sekolah
jangan lupa sarapan dahulu
mulakan hari dengan bismillah
didalam kelas gembira selalu


- diinspirasi oleh dan didedikasi untuk Erissa...

pantun ke sekolah (1)

Ikan keli ikan haruan
ikan tilapia dalam kolah
dalam hati ada soalan...
kenapa kita mesti bersekolah?

Beli - belah selepas fajar
hati - hati pulang memandu
Pergi sekolah untuk belajar
hari - hari dapat ilmu